Dicatat oleh Siti di http://dapur-siti.blogspot.com
PROFESOR psikologi dari Universiti Oregon, Ulrich Mayr berpendapat amalan bersedekah mengaktifkan sel-sel otak dan ini akan menjadikan orang yang berbuat demikian berasa seronok. Pandangan itu diterbitkan oleh jurnal Science (2007) yang diketahui oleh ahli akademik sebagai jurnal berpengaruh.
Ulrich Mayr juga mendapati bahawa rasa seronok bersedekah itu bolehlah dikatakan sama atau lebih daripada menikmati makanan atau hubungan kelamin. Ini kerana bahagian otak yang teraktif dari amalan tersebut berada di bahagian yang sama untuk menikmati makanan dan juga hubungan kelamin.
Selain itu amalan suka bersedekah juga dikaitkan dengan sifat suka menolong orang lain yang juga menjadikan seseorang itu rasa seronok selepas berbuat demikian. Itu sebabnya orang yang menolong selalu keberatan menerima habuan kewangan kerana berasa seronok membantu. Ini dikatakan sebagai sifat altruisme atau bahasa mudahnya ringan tulang.
Kajian Ulrich Mayr dan dibantu dua orang pakar ekonomi itu dilakukan ke atas 19 sukarelawan wanita dan dibekalkan sebanyak AS$100 (RM347). Kemudian pengkaji-pengkaji ini meneliti aktiviti otak dengan menggunakan pengimbas Functional Magnetic Resonance Imaging (FMRI).
Melalui pengimbas canggih itu segala aktiviti otak dapat dikesan dengan mudah dan respons pengesanan adalah amat teliti. Kemudian kesemua wanita ini ditunjukkan bahawa wang mereka telah dimasukkan ke dalam akaun tabung makanan (atau di sini sama seperti akaun zakat).
Apabila wang tersebut disahkan telah diterima, maklumat tersebut segera mengaktifkan bahagian otak untuk rasa seronok. Bahagian-bahagian itu ialah caudate nucleus dan nucleus accumbens yang diketahui sebagai bahagian untuk rasa seronok. Kajian tersebut juga menunjukkan jika sukarelawan itu terpilih untuk mengedarkan wang tersebut, contohnya, menjadi wakil untuk memberikan wang sedekah kepada rumah anak yatim, ia akan meningkatkan lagi rasa seronok.
Kajian terdahulu menunjukkan bahawa bahagian otak yang teraktif itu jugalah bertanggungjawab untuk rasa seronok seperti memakan manisan, hubungan kelamin, perlindungan, dan juga rakan taulan. Ini semua adalah dikaitkan sebagai keperluan asas seorang manusia.
Nabi kita telah memberitahu kita lama dahulu bahawa hanya orang yang banyak bersedekah tahu nikmatnya (siti selalu ambil berkat hari khamis dan jumaat untuk bersedekah.
Kita yang muda ini mungkin ada banyak pilihan lain untuk berseronok. Teringat pula kehebatan Saiyidina Umar Al-Khattab bersedekah separuh hartanya dan dia rasa seronok; tetapi hebat lagi sedekahnya Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq yang bersedekah seluruh hartanya.
“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya”.
(Riwayat Muslim)
Siti – Amalan Bersedekah menarik rezeki (petua kaya), berkat dan tanda kasihsayang Allah SWT kepada hambaNYA yang ikhlas.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar